Tuesday, July 20, 2010

Orang Kata

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Al-Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut daripada belakang. Melihat tingkahlaku Luqman itu, setengah orang pun berkata;

“Lihat itu, orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki”.

Setelah mendengar desas-desus daripada orang ramai, maka Luqman pun turun daripada himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di kawasan itu berkata pula;

“Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu”.

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi;

“Lihat itu, dua orang menaiki seekor himar, sungguh menyeksakan himar itu”.

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun daripada himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata;

“Lihat, dua orang yang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderaikan, membazir”.

Dalam perjalanan ke rumah, Luqman Al-hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya;

“Sesungguhnya tiada seorang pun terlepas daripada percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan pertimbangan Allah s.w.t sahaja (pandangan manusia yang baik boleh diambil). Barangsiapa mengenali kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu”

0 comments: