Tuesday, July 29, 2008

ApA NaK JaDi DeNGaN MaNuSIa ZaMaN SeKaRaNG!

Susunan FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my


KERANA cinta dan permintaannya ditolak, seorang wanita berusia 44 tahun dari New South Wales, Australia, sanggup bertindak kejam dan ganas apabila membunuh kekasihnya tanpa belas kasihan.

Katherine Mary Knight bukan saja membunuh John Charles Thomas Price, 44, dengan menikam mangsa 37 kali, tetapi lebih ngeri lagi mayatnya dirobek, kepala dipancung, kulit disiat dan daging dicincang.

Malah, daging dan kulit Price dimasak untuk dihidangkan kepada anak Price sebagai makan malam mereka.

Dalam kejadian pada 29 Februari 2000, Katherine didakwa membunuh dengan menikam mangsa menggunakan pisau dapur. Kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati wanita itu terhadap kekasihnya selepas hasratnya meminta Price mengahwininya ditolak.

Sebelum itu pasangan berkenaan hidup bersama di rumah mereka di Aberdeen berdekatan New South Wales Hunter Valley. Price memiliki dua anak sebelum menetap bersama Katherine.

Mengikut laporan, sepanjang menetap bersama, kehidupan mereka tidak bahagia kerana Katherine pemarah dan ganas. Malah, sebelum itu, dia pernah berkahwin dengan dua lelaki namun tidak berkekalan.

Melalui suami pertama, Katherine kerap bergaduh dan dilaporkan dia pernah membaling gigi palsu ke arah suaminya manakala perkahwinan kedua gagal disebabkan sikapnya yang pemarah.

Pernah dia mengerat leher anak patung di depan suami keduanya dan mengugut nasibnya bakal menjadi seperti anak patung itu jika permintaannya tidak ditunaikan.

Dalam kes Price, sebelum kejadian, lelaki itu mendapatkan perintah Mahkamah Majistret untuk menghalang Katherine daripada mendekatinya, selain meminta wanita itu keluar dari rumah berkenaan.

Namun, apabila mengetahui tuntutan yang dibuat Price, Katherine berang. Pada hari kejadian, Price tidur jam 11 malam selepas melawat jiran. Sebelum itu, dia sempat menonton televisyen dan mandi.

Bagaimanapun, keesokannya iaitu pada 1 Mac 2000, jam 6 pagi, jirannya mengesyaki sesuatu berlaku apabila Price tidak keluar bekerja seperti biasa, apatah lagi kenderaannya diletakkan di depan rumah jirannya.

Jirannya yang prihatin dan pada mulanya beranggapan Price sakit, kemudian mengunjungi rumah lelaki itu, namun terkejut apabila mendapati ada kesan darah di depan pintu rumahnya.

Mereka menghubungi polis dan memberitahu perkara berkenaan sebelum polis tiba jam 8 pagi. Pintu rumah diketuk dan mereka memanggil nama Price dan Katherine, namun tiada jawapan daripada kedua-duanya.

Polis kemudian mengambil keputusan untuk masuk bagi menyiasat apa yang berlaku. Dalam pencarian itu, mereka akhirnya menemui Katherine di tingkat atas rumah berkenaan dalam keadaan pengsan. Wanita itu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Detektif Neil Raymond yang memasuki rumah pasangan itu berkata, selepas memasuki rumah berkenaan yang mempunyai tiga bilik, mereka menemui daging panggang di dapur.

Selain itu, katanya, lebih mengejutkannya bersama rakan, Detektif Peter Anthony Muscio turut menemui kulit manusia berlumuran darah bertaburan di lantai dan almari dapur.

Siasatan lanjut turut menemui kepala di dalam sebuah periuk serta sedikit kulit di dalamnya. Mereka juga menemui darah di pintu masuk dapur selain luar kawasan rumah.

“Kes ini mengerikan, darah ada di mana-mana dan paling mengejutkan, kami menemui daging panggang, kulit manusia dan kepala di dalam periuk. Saya sangat terkejut dengan kejadian ini,” katanya.

Mereka turut menemui dua hidangan makanan yang siap dihias indah dan sedia untuk dimakan di atas meja. Ia mengandungi dua hirisan daging panggang berkenaan, kentang putar, beberapa jenis sayuran, termasuk kobis dan perisa.

Di sebelah hidangan itu ada kertas yang ditulis perkataan ‘Beaky’ manakala satu lagi ‘Jonathon’ dengan menggunakan pen dakwat biru. Perkataan itu didakwa nama anak Price yang ketika itu tidak sempat menjamah hidangan berkenaan.

Raymond berkata, ketika melangkah masuk ke rumah itu, dia yakin perkara buruk berlaku kerana mereka melihat kesan darah selain bau busuk.

Sementara itu, dalam satu laporan menyatakan, selepas permintaannya ditolak, Katherine mengejar Price dengan pisau dapur di sekeliling rumah.

Selepas berjaya mendapat Price, seperti orang gila Katherine menikamnya di depan dan belakang anggota lelaki berkenaan.

Malah, lehernya disembelih sehingga terputus kepala. Kulit dan daging disiat manakala daging punggung dipanggang. Kepalanya direbus di dalam sebuah periuk, sementara Katherine menyediakan sayur-sayuran untuk hidangan bersama ‘daging bakar’ berkenaan.

Dilaporkan, ada anggota polis yang menjalankan siasatan di rumah berkenaan terpaksa menjalani rawatan psikologi selepas melalui episod ‘ngeri’.

Melalui ujian autopsi, kesan tikaman itu mencederakan organ dalaman seperti jantung, buah pinggang, hati dan paru-paru Price, sekali gus menyebabkan kematiannya.

Katherine kemudian dihadapkan ke mahkamah, namun dia tidak mengaku salah. Melalui bukti yang ada, dia dituduh membunuh Price. Mahkamah pada 23 Julai 2001, akhirnya menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas Katherine selepas didapati bersalah membunuh Price.

Katherine menjadi wantia pertama Australia dihukum penjara seumur hidup tanpa kebenaran menjalani parol. Dia menjalani hukuman itu di Penjara Wanita Mulawa di Sydney.

Namun, agak mengejutkan apabila ada banduan di penjara itu menganggap tindakan Katherine tepat, malah memberi gelaran hero kepada wanita itu di atas kejayaannya menghukum lelaki yang didakwa tidak ada perasaan atau menganiaya mereka.

“Ramai banduan wanita menganggapnya hero kerana dia melakukan tindakan yang gagal menita menganggapnya hero kerana dia melakukan tindakan yang gagal mereka lakukan terhadap teman yang menganiaya mereka,” kata Sandra Lee, yang menceritakan mengenai kekejaman Katherine dalam bukunya, ‘Beyond Bad’.



>Info

NAMA: Katherine Mary Knight

UMUR: 44 tahun (pada kejadian 2000)

LAHIR: 1956 di New South Wales, Australia.

JENAYAH: Dalam kejadian pada 29 Februari 2000, Katherine didakwa membunuh kekasihnya, John Charles Thomas Price, 44, dengan menikam, mengerat dan memasak daging Price untuk dihidangkan kepada anak kekasihnya.

HUKUMAN: Katherine didapati bersalah, sekali gus mahkamah menjatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.

NOTA: amik dari metro...apa nak jadi dengan manusia sekarang...

0 comments: